Profail Jabatan Bomba

Pasukan Bomba Negeri Perak Darul Ridzuan telah ditubuhkan pada tahun 1927 di Bandar Taiping.Pada tahun 1936, bangunan Jabatan Bomba telah didirikan, terletak di Jalan Brewster (Jalan Sultan Idris Shah) Ipoh setinggi dua tingkat. Bahagian atas ditadbir oleh Pasukan Polis Trafik manakala bahagian bawah dikendalikan oleh Pasukan Bomba. Pasukan Bomba pada masa itu dibawah pentadbiran pasukan Polis dan lain-lain tempat Pasukan Bomba hanya diuruskan oleh balai-balai Polis sahaja serta anggota Polis menjadi anggota Bomba juga.
Selepas pemerintahan Jepun iaitu tahun 1947 barulah Pasukan Bomba dilengkapi dengan mengadakan balai-balai di pekan dan tempat-tempat strategi di Negeri Perak. Balai-balai tersebut terletak di Ipoh, Taiping, Batu Gajah, Sungai Siput, Gopeng, Siputeh, Teluk Anson (Teluk Intan), Tapah, Tanjung Malim, Gerik dan Kuala Kurau.
Selepas tahun 1947, Pasukan Bomba dan anggotanya turut bertambah begitu juga dengan balainya semakin bertambah dari masa ke semasa dan sejumlah 22 buah balai kesemuanya. Namun begitu Balai Bomba Siputeh telah ditutup dan digantikan dengan Balai Bomba Pulau Pangkor pada tahun 1968.
Mulai tahun 1947, Pasukan Bomba telah diambil alih oleh Majlis Tempatan (Majlis Daerah) yang diketuai oleh seorang Pegawai Daerah (DO). Pada tahun berikutnya, pembangunan begitu pesat sekali dan Pasukan Bomba juga turut terlibat sama menerima peralihannya.
Sebelum tahun 1976, Pasukan Bomba adalah dibawah pentadbiran kerajaan Negeri dan kuasa-kuasa tempatan. Kerajaan Persekutuan telah menubuhkan Jemaah Pemeriksa Perkhidmatan Bomba pada tahun 1957 yang bertindak sebagai penasihat kepada perkhidmatan Bomba Negeri Dan Kerajaan Tempatan. Pada tahun 1976, Akta A 354 Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang berkuatkuasa mulai 1 Januari 1976 telah dipinda (Jadual kesepuluh) membawa Perkhidmatan Bomba disatukan di bawah Pentadbiran dan diletakkan di bawah Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan.
Seterusnya Perkhidmatan Bomba Malaysia telah berkembang dari masa ke semasa dengan peranannya yang lebih dan semakin penting serta mencabar. Ini sejajar dengan perkembangan dan pertumbuhan ekonomi yang pesat dengan terdirinya bangunan-bangunan tinggi dan kilang-kilang perusahaan pada masa kini.
Bagi mencapai matlamat Jabatan satu undang-undang telah diperkenalkan dan dinamakan Akta Perkhidmatan Bomba Malaysia (Akta 341) yang diwartakan pada 6 Ogos 1988 dan mula berkuatkuasa mulai 1 Januari 1989.

Pada Rancangan Malaysia Ke-Enam wujud pula 3 buah Balai Bomba yang terletak di Bidor, Seri Manjong dan Pasir Puteh, Ipoh. Pada Rancangan Malaysia Ke-Tujuh pula telah wujud lagi 2 buah balai baru iaitu Kamunting dan Sri Iskandar. Keseluruhan Balai Bomba di Negeri Perak masa kini adalah sebanyak 27 buah Balai.


